Thursday, 15 October 2015

Johan ADS1M Peringkat Negeri Johor

Tarikh: 4/10/2015
Tempat: Nusajaya, Johor



NUSAJAYA – Usaha dan komitmen penduduk Kampung Parit Tengah, Batu 18, Muar berbaloi apabila kampung tersebut terpilih sebagai Johan Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) peringkat negeri sekali gus mewakili Johor ke peringkat kebangsaan.

Kampung berkenaan berjaya membawa pulang tunai RM12,000 dan insentif kemerdekaan RM5,000 bersama trofi dan sijil.

Menurut Penghulu Mukim Ayer Hitam, Muar, Mohd Afezan Yahya, persediaan bagi menyertai anugerah berkenaan dilakukan sejak Julai lalu dan ditambah baik dari semasa ke semasa sehingga terpilih sebagi johan peringkat negeri.

"Semua penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan menambah baik keindahan kampung. Malah kita turut menggunakan dana RM25,000 hasil sumbangan penduduk kampung dan wakil rakyat bagi menjayakan aktiviti berkenaan.

"Tahun lalu, mukim Muar hanya menang tempat keempat dan kami bersyukur penyertaan kali ini akhirnya membuahkan hasil," katanya ketika ditemui selepas perasmian ADS1M di Kota Iskandar, di sini, kelmarin.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohamed selaku wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Mahpop Ali berkata, mereka merancang membangunkan monumen berbentuk permainan kentrong bagi mengindahkan lagi kampung.

Ikhsan dari Sinar Harian

Related Posts:

0 comments:

Post a Comment